PERKARA-PERKARA HARAM DALAM PERNIAGAAN

Posted by

Dalam Islam perniagaan dianggap sebagai satu aktiviti yang sangat mulia. Ia merupakan ibadah dan juga sunnah rasul SAW. Bagi mereka yang melaksanakan aktiviti berniaga dengan amanah, mereka turut dijanjikan balasan syurga bersama para nabi, orang soleh dan syuhada’. Namun demikian, sekiranya ia dilakukan luar dari batasan syariat Islam maka ianya tidak lagi dianggap ibadat tetapi aktiviti yang boleh mendatangkan padah kebinasaan baik di dunia dan akhirat.

Perkara yang diharamkan dalam perniagaan 

Sungguhpun aktiviti perniagaan dianjur dan digalakkan dalam Islam, ia tidak bermakna manusia bebas menentukan tatacara perniagaan tanpa ada prasyarat yang mesti dituruti. Bagi menjamin kemaslahatan manusia terjamin dan terpelihara, Islam telah mengharamkan beberapa perkara dalam aktiviti pernigaan. Antara perkara yang dilarang dalam aktiviti perniagaan ialah:

1. Riba.

Riba merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam. Orang yang menyatakan riba adalah halal akan menjadi kufur dan terkeluar dari Islam, kerana riba adalah salah satu dari dosa besar yang wajib dielakkan oleh seorang muslim yang disebutkan secara jelas dalam al-quran dan sunnah tentang pengharamannya. Dimaksudkan dengan riba ialah sebarang tambahan dalam barangan tertentu (ribawi) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh.

Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, amalan riba hendaklah dielakkan sepenuhnya. Peniaga yang baik dan diredhai Allah SWT ialah peniaga yang mampu berniaga dengan berpandukan peruntukan syarak, bebas dari sebarang bentuk riba samaada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat pelaburan dan seumpamanya.

2. Memeras ugut dan megambil harta dengan cara yang batil

Islam juga mengharamkan perbuatan memeras ugut serta tindakan mengambil harta orang lain dengan cara yang batil (salah). Mengambil harta orang lain dengan cara yang batil dan salah ini boleh berlaku dalam pelbagai cara dan bentuk seumpama mencuri, merompak, menipu, memperdaya, judi dan seumpamanya. Sekiranya seseorang berkeinginan kepada barangan dan sesuatu yang berharga pada milikan orang lain maka ia boleh mendapatkannya melalui jalan perniagaan yang bebas dari sebarang unsur yang dianggap sebagai cara yang salah dan batil. 

3. Menipu dan bersumpah bagi melariskan barangan.

Dalam keghairahan mempromosi dan menarik pelanggan, pelbagai cara dan strategi dibuat dengan tujuan melariskan barang jualan. Sungguhpun perbuatan itu dibolehkan, namun sebagai perniaga yang beriman mereka sewajarnya tidak alpa dan lupa bahawa Islam melarang sebarang bentuk penipuan dalam perniagaan. Menipu ialah melakukan suatu helah untuk kepentingan diri sendiri dan memudharatkan orang lain. 

Pelbagai cara penipuan boleh berlaku dalam aktiviti perniagaan seperti memalsukan tandatangan, menjual barang tiruan dengan harga yang mahal dan menipu pelanggan dengan iklan-iklan yang palsu. 

Termasuk juga dalam perbuatan menipu ialah perbuatan bersumpah dengan nama Allah dengan tujuan melariskan barang jualan seperti menyatakan “demi Allah, barang ini adalah paling murah dijual di kota ini dan saya hanya menjual harga modal sahaja” sedangkan hakikat yang sebenar adalah sebaliknya. Sebagai peniaga yang beriman dan berpegang teguh kepada ajaran agama ia hendahlah mengelak dari sebarang bentuk penipuan dan banyak bersumpah dalam keghairahan melariskan barangan jualan dan mendapat keuntungan daripadanya.

4. Rasuah.

Rasuah juga merupakan salah satu dosa besar dalam Islam. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bidang termasuklah dalam aktiviti perniagaan. Sesetengah orang beranggapan rasuah/ duit kopi/ duit under-table ini adalah satu kemestian dalam perniagaan. Ini kerana pada mereka dengan rasuah ia boleh membantu mengenali orang-orang penting, membantu mendapat projek dan peluang perniagaan yang lebih luas, memudahkan perjalanan projek dan dapat juga membantu memudahkan servis selepas penjualan yang dijanjikan. Pendek kata tiada apa yang tidak dapat dilakukan jika dihulurkan dengan sedikit wang ringgit.

Setengah mereka berselindung dengan menukarkan istilah rasuah itu dengan kata-kata lain seperti pertolongan/ bantuan/ hadiah/ sedekah dan seumpamanya. Sememangnya rasuah jauh berbeza dengan sedekah dan hadiah. Rasuah adalah pemberian yang dibuat bertujuan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah atau bukan dengan cara yang sebenar. Sedekah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mendapatkan balasan pahala dari Allah SWT semata-mata, sedangkan hadiah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mempereratkan lagi ikatan silaturahim dan kasih sayang..

Gejala rasuah dalam semua situasi dan kondisi termasuk dalam menjalankan aktiviti perniagaan adalah dilarang sama sekali dalam Islam dan merupakan perbuatan haram lagi tercela. Sebagai peniaga yang beriman, perbuatan terkutuk ini hendaklah dihindari agar keberkatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat dapat dikecapi oleh semua.

Penutup

Demikian adalah antara perkara-perkara yang diharamkan dalam aktiviti jual-beli atau perniagaan. Kesemua larangan dan tegahan yang disebutkan di atas cukup mencerminkan kesempurnaan dan kesyumulan syariat Islam. Semua perkara yang haramkan ini adalah perkara yang boleh mendatangkan mudarat dan kesulitan kepada manusia. Sekiranya semua manusia bepegang teguh dengan ajaran dan panduan Islam, nescaya semua akan mendapat rahmat Allah SWT dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s